Khutbah
Jumaat: “Hikmah Kebersihan Jiwa Dalam Peristiwa Isra’ Mikraj”
.
Sidang Jumaat
Yang Dirahmati Allah SWT,
Saya berpesan
kepada diri saya dan tuan-tuan para jemaah sekalian, marilah sama-sama kita
bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa iaitu melaksanakan segala
perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.Mudah-mudahan kita
berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakankhutbahbertajuk: “HIKMAH KEBERSIHAN JIWA DALAM PERISTIWA ISRAK MIKRAJ”.
.
.
Muslimin yang
dirahmati Allah SWT,
Menurut
sebahagian ulama, Peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku pada malam 27 Rejab
setahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Peristiwa ini adalah
perjalanan suci Rasulullah SAW bagi memenuhi jemputan Allah SWT. Peristiwa
Isra’-Mikraj ini juga sebenarnya membuka cerita kepada kita tentang hakikat
alam semesta ini. Bagaimana kedudukannya, susunan langit-langit yang tujuh
serta tujuh petala bumi, Namun yang pentingnya dalam Isra’ Mikraj adalah
petunjuk, pedoman dan panduan untuk kita umat di akhir zaman.
Firman Allah SWT dalam surah al-Israk, ayat 1:
سُبْحَٰنَ
ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًۭا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ
إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ
لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَٰتِنَآ ۚ
إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ
Maksudnya: “Maha
Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil haram
ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya
tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
.
Bagaimana pun
sebelum berlaku Isra’ Mikraj, Rasulullah SAW menjalani pembedahan dada yang
dilakukan oleh Malaikat Jibril untuk membersih hati daripada ketulan hitam
bernama ’alaqah iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya
dan dimasukkan hikmat, ilmu, dan iman. Selepas itu Allah SWT mengatur program
kerohanian untuk Rasulullah SAW iaitu program Isra’ Mikraj mengadap Allah SWT
dalam tempoh satu malam sahaja. Peristiwa ini menjadi bukti kekuasaan Allah SWT
ke atas hamba-Nya dalam membina dan memantapkan pegangan akidah.
.
Perjalanan suci
Rasulullah SAW ini melibatkan beberapa amalan luar biasa iaitu perjalanan dari
Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis Palestin, Rasulullah
SAW menjadi imam solat kepada Rasul-rasul sedangkan mereka itu telah lama
meninggal dunia, dan mengadap Allah SWT di Sidratul Muntaha untuk menerima
perintah solat lima waktu secara berhadapan terus dengan Allah SWT.
.
Perjalanan yang
melibatkan dua masjid tertua di dunia dan paling suci dalam Islam menjadi
petanda betapa hubungan akrab antara Masjidil Haram dengan Masjidil Aqsa
berkaitan pertalian kiblat dan pusat gerakan Rasul-rasul terdahulu menegakkan
syiar Islam. Kemudian Rasulullah SAW menjadi imam kepada beberapa Nabi dalam
suasana alam kerohanian itu dan bersalaman satu sama lain menunjukkan bahawa
para Nabi semuanya akur terhadap kedudukan Baginda sebagai Rasul terakhir yang
menyempurnakan syariat agama Allah SWT.
.
Pertemuan
Rasulullah SAW dengan Allah SWT di Sidratul Muntaha dalam suasana alam
kerohanian itu tanpa ditemani Malaikat Jibril, adalah pertemuan kemuncak
sebagai penghargaan dan penghormatan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang
menyempurnakan Islam sebagai agama global untuk manusia. Inilah bukti kekuasan
dan kebesaran Allah SWT yang mampu melakukan apa sahaja yang diinginkan–Nya.
.
.
Muslimin yang
dirahmati Allah SWT,
Yakinlah bahawa
menjadi salah satu pengajaran dalam peristiwa Isra’ Mikraj ialah persediaan
teliti Rasulullah SAW dalam penyucian hati atau kalbu. Proses penyucian hati
ini akan mengukuhkan kepercayaan kita bahawa dalam pertemuan dengan Allah SWT,
seseorang dituntut membersihkan jiwa dan raganya daripada pelbagai sifat keji.
Dengan jiwa yang bersih, penuh keimanan dan ketakwaan, maka akan beroleh
kemudahan untuk berkomunikasi secara khusyuk dengan Allah SWT dan membawa hasil
yang menguntungkan.
.
Kebersihan dan
penyucian hati amat penting dalam membentuk keperibadian manusia. Pakaian yang
bersih apabila kita pakai akan menjadi kotor. Semakin lama kita pakai, maka
semakin kotor pakaian kita. Cuba bayangkan bagaimana rupa dan baunya jika
pakaian itu tidak dibasuh. Demikian juga dengan tubuh badan kita. Semakin hari
semakin kotor, berbau busuk dan terdedah kepada pelbagai penyakit jika kita
tidak mandi dan membersihkannya dengan sempurna.
.
Begitu jugalah
hati manusia. Setiap manusia tanpa mengira kedudukan pangkat dan keturunan
ketika dilahirkan adalah dalam keadaan bersih. Bagaimana pun, manusia ini
mempunyai sifat kelemahannya. Manusia menginginkan pangkat, kedudukan,
kemuliaan, penghormatan, kekayaan dan kesenangan. Dalam keadaan sedar memenuhi
keperluan hidup itu, maka manusia kadangkala atau yang berat lagi bertabiat
pula melakukan dosa kecil atau besar. Dosa ini akan menjadi titik hitam dalam
hati. Semakin banyak kesalahan maka semakin tebal titik hitam dalam hat
seseorang. Kelemahan dan kegagalan manusia menyelenggara dan meningkatkan
prestasi penyucian hati telah menjerumuskan individu atau keluarga dalam perbuatan
yang bercanggah dengan hukum Allah SWT dan hak asasi manusia.
.
Mimbar ingin
menyatakan bahawa antara tanda- tanda semakin tebal titik hitam dalam hati
manusia ialah,
Pertama: Malas melakukan ketaatan dan amal
kebaikan.
Kedua: Tidak tersentuh hatinya apabila mendengar
ayat- ayat al-Quran.
Ketiga: Tidak tersentuh dengan perkara yang terjadi
seperti berlakunya peristiwa yang dapat memberikan pelajaran sebagai contoh
kematian, sakit, bencana.
Keempat: Berlebihan mencintai dunia serta melupakan
akhirat.
Kelima: Berkawan dengan orang yang melakukan maksiat.
Keenam: Kemaksiatan yang berterusan.
Ketujuh: Meremehkan dosa kecil.
Kelapan: Tidak peduli sumber makanan.
.
Persoalan besar
timbul ialah bagaimana cara kita membaiki, menyelenggara dan meningkatkan
prestasi hati kita supaya ianya terus selari dengan akidah, akhlak dan syariat
Islam?. Mimbar ingin menyatakan bahawa pada masa iniumat Islam terdedah
kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah umat Islam.
Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, fahaman
liberalisme, pluralisme dan komunisme serta unsur-unsur negatif yang
mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya.
.
Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan
memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit dengan budaya songsang seperti black
metal, budaya punk, gejala gay, seks bebas dan sebagainya. Berdasarkan
pemerhatian mimbar, gejala ini berlaku disebabkan oleh beberapa perkara
antaranya kepincangan keimanan dan kecemaran hati umat Islam yang di gelapkan
oleh perbuatan mereka sendiri.
.
Mimbar ingin
mengingatkan bahawa ketahuilah hati kita adalah pusat kesedaran, pusat
penggerak setiap gerak geri kaki tangan, mulut, mata, fikiran dan pancaindera
kita. Alangkah indahnya pergaulan antara manusia dalam masyarakat apabila
rata-rata manusia yang hidup dalam masyarakat mempunyai hati yang putih bersih
kerana dapat menjamin masyarakat hidup dengan aman damai.
.
Inilah masanya
umat Islam mesti sedar dan meletakkan kepentingan Islam di dalam hatinya
melebihi segala kepentingan yang lain. Pertahankanlah kesucian dan kedaulatan
agama Islam sebaik yang mungkin dan bertindaklah berdasarkan kebijaksanaan dan
keimanan. Janganlah disebabkan tindakan dan perbuatan kita yang hanya menurut
emosi, kesucian agama Islam boleh tergadai dan tergugat.
Justeru, selari
dengan sunnah Rasulullah SAW, maka dengan rasa tanggungjawab mimbar yang mulia
ini menyeru wahai jemaah sekalian, walaupun dalam keadaan
sibuk mana sekalipun dengan urusan dunia, sediakanlah dalam masa-masa tertentu
untuk menginsafi, bertaubat dan meminta ampun kepada Allah SWT. Sediakan
waktu-waktu tertentu untuk mengingati Allah SWT memuji dan membesarkan Allah
SWT, mensucikan Allah SWT agar hati dan jiwa saudara dan jemaah sekalian
menjadi kembali bersih.
.
.
Muslimin yang
dirahmati Allah SWT,
Mengakhiri
khutbah pada minggu ini, bersempena dengan kita mengingati peristiwa Isra’
Mikraj ini, mimbar menyeru marilah kita melipatgandakan penyucian diri dan
beribadahlah menyembah Allah SWT dengan penuh berkualiti dalam menunaikan
solat, berzakat, menunaikan puasa, haji, melaksanakan ibadah sunat yang lain
serta sentiasa bertaubat kepada Allah SWT. Mimbar amat yakin sebagai umat Islam
sekiranya peristiwa dan kebenaran dalam Isra’ Mikraj ini ditauladani dan
dipelajari serta dihayati sebaik mungkin, insyaallah kita
mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan dan
kemungkaran serta terjerumus dengan gaya hidup berdosa.
.
Ingatlah,
sejarah ataupun peristiwa yang telah berlaku dimasa lalu mesti dijadikan
cerminan dan panduan untuk masa hadapan. Yakinlah bahawa hidup ini umpama kita
memandu kenderaan, kita memerlukan cermin untuk kita melihat ke belakang
sebagai panduan bagi kita untuk memandu ke hadapan. Inilah kepentingan sejarah
dan peristiwa yang telah berlaku. Bayangkanlah, apakah akibatnya jika kita
memandu kenderaan tanpa menggunakan cermin untuk melihat ke belakang?. Sudah
pasti kita akan berhadapan dengan kemalangan mahupun tragedi yang buruk.
.
Maka, jadikanlah
pengajaran di sebalik peristiwa yang telah berlaku terutamanya sejarah dalam
negara kita mahupun sejarah Islam untuk meneladani perkara yang baik dan
menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Isra’ dan
Mikraj merupakan satu ujian dalam proses pemisahan antara orang yang
benar-benar beriman atau mereka yang tipis imannya dan yang kufur ingkar
terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya.
Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam
surah al-Ankabuut ayat 45:
ٱتْلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيْكَ
مِنَ ٱلْكِتَٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ
تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ
ۗ وَلَذِكْرُ ٱللَّهِ
أَكْبَرُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ
مَا تَصْنَعُونَ
Maksudnya: “Bacalah
serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu dari Al-Qur’an,
dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari
perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih
besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang
kamu kerjakan.”
.
.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“Hikmah Kebersihan Jiwa Dalam Peristiwa Isra’ Mikraj”
(7 Jun 2013 / 28 Rejab1434H)